Thursday 3 November 2011

Koperasi Di Sekolah Digalak Jual Barangan Coop 1Malaysia

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata barangan Coop1M yang dilancarkan 27 Okt lepas menawarkan 25 jenis barangan harian antaranya sos cili, mi segera dan kicap dijual pada harga yang kompetetif iaitu antara 30 dan 40 peratus lebih rendah daripada keluaran berjenama.

"Usaha ini akan membantu menambah pendapatan koperasi sekolah selain memberikan pasaran lebih luas iaitu menjual barangan keperluan harian. Para pelajar boleh membeli barangan berkenaan dengan harga yang lebih murah dari pasaran," katanya selepas merasmikan sambutan dan penyampaian Anugerah Hari Koperasi Sekolah dan Konvensyen Pembudayaan Keusahawanan Koperasi Sekolah 2011 di sini, Khamis.


Ismail berkata usaha itu juga sejajar dengan beberapa kedai koperasi sekolah yang berkelayakan dan disenaraikan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk dinaik taraf di bawah program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) pada tahun depan.

Beliau berkata semua pengetua sekolah juga disaran memberi kontrak kepada koperasi sekolah masing-masing bagi membekalkan barangan seperti alat tulis kepada pihak sekolah seperti yang dipersetujui Kementerian Kewangan baru-baru ini.

"Sebelum ini koperasi sekolah dibenarkan mendapat kontrak bagi nilai tidak lebih RM10,000 bagi satu barangan, namun sekarang kementerian berkenaan telah bersetuju supaya sekolah boleh memberikan kontrak tanpa nilai terhad kepada koperasi sekolah masing-masing," katanya.

Ismail berkata langkah itu sangat dialu-alukan kerana ia membantu menghidupkan peranan koperasi sekolah ke tahap yang lebih baik dan meluas.

Pada majlis itu, Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Hulu Kinta Bhd, Perak melalui projek makanan mi kering dipilih sebagai penerima Anugerah Projek Terbaik dan Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin Bhd, Terengganu dipilih pemenang Anugerah Juri menerusi projek bam organik.[bernama]

No comments:

Post a Comment