Sumber cikgubadarudin.com
Satu hari selepas saya
memberikan satu pengisian di dalam slot bersama remaja, datang seorang
budak darjah enam duduk di meja saya.
"Ustazah, doakan saya dapat 5A dalam UPSR."
"Inshaallah, 5A UPSR."
Selepas saya berkata sedemikian, dia masih tidak berlalu pergi. Dia tetap duduk sahaja dekat dengan meja saya.
Katanya lagi, "Ustazah, ini serius tau?"
Saya senyum sambil berkata, "Ya, saya tahu. Memang UPSR 5A daripada
dahulu hingga sekarang. Atau bukan guna 5A lagi sekarang?"
"Ustazah ini beriya-iya mahu berdoa, tetapi tak pulak bertanyakan nama saya."
Saya
mula merasakan, budak ni serius dengan kata-katanya. Saya bertanyakan
namanya. Setelah diberitahu namanya, dia berkata lagi, "Ustazah mesti
doakan saya dapat 5A ya."
"Boleh ustazah tahu, mengapa kamu bersungguh-sungguh mahu ustazah doakan?"
Dia
menyambung lagi, "Ustazah, saya meminta untuk didoakan agar dapat 5A
dalam UPSR kerana saya mahu menuntut hadiah daripada ibu saya. Ibu tak
tahu lagi, apa hadiah yang saya mahukan."
Dalam fikiran saya, tentulah hadiah yang dimahukan seperti basikal, PS3, XBOX dan yang seumpama dengannya.
"Boleh kamu berkongsi dahulu dengan ustazah, hadiah apakah yang kamu mahukan daripada ibu kamu sekiranya kamu mendapat 5A?"
"Ustazah,
saya kena dapat gak 5A sebab sekiranya saya dapat 5A, saya mahu tuntut
hadiah daripada ibu supaya dia menutup aurat dengan sempurna dan memakai
tudung"
Pada ketika itu juga, saya menadah tangan berdoa :
"Wahai
Allah, Engkau mendengar luahan hati budak ini. Sekiranya dengan 5A
boleh menjadi penyebab ibunya mendapat hidayah-Mu, Engkau berikanlah 5A
kepada budak ini wahai Allah."
Hidayah Allah tidak pernah
mengenal usia. Kadangkala, seorang budak mendapat hidayah terlebih
dahulu daripada ibunya. Oleh kerana itu, mohonlah hidayah Allah dengan
airmata, bukan air liur.
Jangan pernah berhenti berdoa sebelum
hidayah Allah menghuni jiwa. Kasih Allah lebih luas daripada kesalahan
dan kealpaan diri kita. Pengampunan Allah pula lebih besar daripada dosa
yang pernah kita lakukan. Sungguh Allah itu dekat, apabila kita
berusaha mendekatkan diri kepada-Nya.
No comments:
Post a Comment