Friday, 2 November 2012

Dosa-dosa Yang Menutup Pintu Hati

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : "Di dalam jasad itu ada seketul darah (mudghah),bila rosak, maka rosaklah badan seluruhnya dan bila sihat maka sihatlah badan seluruhnya, seketul darah itu adalah hati."

Pernahkah persoalan ini timbul dalam fikiran kita? Tentunya ada apabila hati kita dilanda keresahan dan kegelisahan. Mengapa keadaan ini boleh berlaku? Jawapannya ialah kerana hati kita telah terhijap oleh perbuatan dosa yang kita lakukan setiap hari.

Tidak kiralah dosa kita terhadap Allah s.w.t. atau dosa kita sesama manusia. Memang dianjurkan di dalam Islam supaya kita selalu mengenang dosa-dosa kita yang selalu agar kita boleh memperbaiki diri kita dengan selalu bertaubat. Dosa terhadap manusia hanya boleh terhapus apabila kita meminta maaf kepada orang tersebut yang kita lakukan dosa kepadanya.

Terdapat beberapa dosa-dosa yang menutup pintu hati. Oleh itu perlulah kita jauhi dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menghapuskan dosa-dosa yang terdapat dalam diri kita, supaya ianya tidak bertapak dihati kita dan kita merasa bebas dan seronok di atas ketiadaan dosa-dosa tersebut.

Sahabat yang rahmati Allah,
Terdapat beberapa dosa-dosa besar yang wajib dijauhi yang boleh mematikan hati :

1. Syirik kepada Allah (terbahagi dua iaitu Syirik Besar dan Syirik Kecil).
2. Nifaq (kemunafikan).
3. Derhaka kepada kedua ibu bapa.
4. Meninggalkan solat.
5. Membunuh manusia.
6. Menuduh wanita solehah berzina.
7. Melakukan zina.
8. Makan harta anak yatim.
9. Makan riba'.
10. Melarikan diri daripada peperangan.
11. Melakukan liwath.
12. Menuduh lelaki soleh melakukan liwath
13. Melakukan sihir.
14. Meminum arak.
15. Sumpah palsu.
16. Kesaksian yang jahat.
17. Tenung nasib (percaya pada bomoh)

Dosa-dosa lain yang boleh menutupi pintu hati :
1. Memutuskan silaturahim.
2. Dosa lidah (mengumpat, memfitnah, mengadu domba, mungkir janji dan berdusta)
3. Sifat mazmumah ( marah, sombong, bongkak, takbur, ujub, irihati dan tidak bersyukur)
4. Mengambil rasuah.
5. Mengambil harta orang lain tanpa hak.

Beberapa tabiat yang buruk yang boleh juga memberi sumbangan kepada tertutupnya pintu hati adalah seperti berikut :
1. Makan dan minum secara berlebih-lebihan
2. Banyak tidur.
3. Panjang angan-angan.
4. Malas bekerja dan berusaha.
5. Malas menuntut ilmu.

Sahabat yang dihormati,
Hati manusia adalah tempat yang amat penting untuk bertapaknya iman, takwa dan ihsan. Apabila tempat ini tertutup, rosak, mati dan keras maka akan rosaklah seluruh jasad manusia. Manusia tidak akan dapat menerima taufik dan hidayah, dan tidak akan dapat merasa kemanisan iman.

Oleh itu marilah sama-sama kita jauhi diri kita daripada segala dosa besar dan kecil, membuangkan segala sifat-sifat mazmumah (buruk). Dan sentiasa beristighfar dan berzikir kepada Allah s.w.t. semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita dan menjadikan hati kita bersih, hidup, mulia, salim dan sejahtera.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Dialah (Allah) yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah dan keimanan mereka yang telah ada. Kepunyaan Allah tentera langit dan bumi. Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.”
(Surah Al-Fath ayat 4) TQ [laman sufi]

No comments:

Post a Comment