Thursday, 29 March 2012

Kena rantai leher di tiang elektrik kerana ponteng sekolah untuk bermain game internet

BATTAMBANG - Seorang bapa di Kemboja merantai leher seorang anak lelakinya pada sebatang tiang kayu elektrik di sini bagi menghukum remaja berkenaan yang ponteng sekolah untuk bermain permainan Internet, kata polis semalam.
Remaja berusia 13 tahun itu dirantai pada tiang elektrik sekitar dua jam.
Jirannya kemudian menghubungi pihak polis yang tiba di tempat kejadian bersama seorang tukang kunci untuk membebaskan mangsa.
"Si bapa amat marah apabila menemui anak lelakinya di sebuah kafe Internet dan bukan di sekolah sehingga dia sanggup merantai anaknya di khalayak sebagai pengajaran," kata Timbalan Ketua Polis Battambang, Cheth Vanny.
Menurutnya, mangsa turut dipukul oleh bapanya.
Bapa berusia 40 tahun itu, Sok Thoeun yang bekerja sebagai pemandu teksi motosikal melarikan diri selepas insiden berkenaan yang berlaku pada Selasa lepas.
Dia kini diburu polis kerana melakukan penderaan terhadap kanak-kanak.
"Dia sedang diburu," kata pegawai berkenaan.
"Penderaan seperti ini menyalahi undang-undang," tambahnya lagi.
Penggunaan Internet di Kemboja adalah antara yang terendah di Asia Tenggara dengan kurang 1.5 peratus daripada 14 juta penduduk Kemboja menggunakan kemudahan tersebut. - AFP

No comments:

Post a Comment