Tuesday 17 January 2012

Kementerian Pelajaran Kaji Masalah Ponteng Sekolah

PUTRAJAYA, 17 Jan (Bernama) -- Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia dan Universiti Malaya akan menjalankan kajian terperinci mengenai masalah ponteng sekolah, kata Timbalan Menteri Datuk Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata isu ponteng sekolah masih menjadi penyumbang terbesar kepada masalah disiplin pelajar.

Bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid, di sini Wee berkata, kajian yang dijangka mengambil masa enam bulan itu akan berusaha mengenalpasti punca sebenar ponteng sekolah.


Beliau berkata, jumlah murid yang terlibat dengan masalah disiplin pada tahun lepas didapati telah menurun kepada 2.05 peratus daripada 2.06 peratus pada 2010.

"Kadar purata salah laku disiplin murid yang direkodkan oleh pihak kementerian dalam tempoh lima tahun (2007 hingga 2011) adalah pada kadar 2.07 peratus setahun.

Sementara itu, Wee berkata pelaporan dan tindakan berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) 1:3:7 akan dilaksana bagi menyelesaikan sebarang kes disiplin sekolah dalam masa tujuh hari saja.

Wee berkata melalui prosedur itu Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah perlu menyelesaikan sesuatu masalah dalam tempoh yang ditetapkan.

Katanya, menerusi prosedur tersebut sesuatu masalah disiplin yang berlaku dalam sekolah mesti dilaporkan kepada pihak kementerian dalam masa satu hari.

Surat arahan untuk pematuhan SOP ini akan dikeluarkan dalam masa terdekat, kata beliau.

Beliau berkata, prosedur tersebut secara tidak langsung tidak akan memberi ruang kepada pihak sekolah untuk menyembunyikan sebarang kes disiplin.

Wee berkata Bilik Gerakan Disiplin akan diwujudkan di peringkat kementerian dan JPN untuk proses analisis dan tindakan terhadap sebarang masalah disiplin pada setiap minggu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment