PUTRAJAYA 12 Okt. [utusan]- Kementerian Pelajaran mendedahkan isu kekurangan peruntukan kewangan dan personel dilihat sebagai faktor yang menjadikan aktiviti kokurikulum di sekolah amat kurang bermaya atau setakat ala kadar.
Masalah tersebut berlaku bukan hanya di peringkat kementerian bahkan membabitkan peringkat jabatan pelajaran negeri (JPN), pejabat pelajaran daerah (PPD) dan sekolah.
Ia didedahkan dalam satu kertas kerja yang dibentangkan oleh Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian (BBK), Muhamet Roli Hassan pada Seminar Transformasi Kokurikulum Kebangsaan 2011 di sini hari ini.
"Berdasarkan tinjauan oleh BBK mengenai status pelaksanaan kokurikulum kalangan murid pada tahun ini mendapati aspek murid bukan penghalang untuk menjadikan aktiviti itu lebih baik.
"Mereka mengetahui dan menghayati kepentingan aktiviti itu sama ada untuk kesihatan diri mahupun untuk melanjutkan pelajaran masing-masing," kata Muhamet Roli.
Mengulas lanjut perkara itu, beliau berkata, usaha melatih guru kokurikulum pula sering tidak menepati jumlah sasaran akibat peruntukan kursus yang diluluskan tidak menentu.
"Ini menyebabkan ramai guru yang terbabit menjadi guru 'pemerhati' kerana tiada kepakaran dan ilmu yang diperlukan.
"Jumlah peruntukan tahunan yang tidak menentu juga memberi kesan kepada bilangan aktiviti dan akhirnya mengurangkan peluang lebih ramai murid untuk terlibat sama," katanya.
Di peringkat JPN, Muhamet Roli berkata, perjawatan sedia ada yang berjumlah lima orang tidak mampu menampung beban pengurusan antara 130 hingga 150 aktiviti peringkat negeri dalam setahun.
Malah, beliau menambah, keadaan itu menjadi lebih teruk apabila pengetua atau guru besar enggan melepaskan guru-guru bertugas di luar sekolah.
''Isu peruntukan tahunan yang tidak menentu menjejaskan perancangan peringkat negeri dan ini menyebabkan aktiviti yang dirancang itu sering tergendala atau dibatalkan.
"Sebagaimana JPN, peringkat PPD menghadapi isu sama yang berkaitan perjawatan dan peruntukan kewangan," katanya.
Di peringkat sekolah, beliau berkata, isu penguatkuasaan peraturan dan pemantauan yang tidak mantap dianggap penyebab utama kepada kebanyakan pengurusan sekolah melaksanakan aktiviti itu seadanya sahaja.
"Tanpa menafikan faktor kekurangan tenaga mahir atau pakar, kegagalan guru-guru melaksanakan aktiviti itu lebih kepada kegagalan pihak pengurusan sekolah mewujudkan budaya kokurikulum di sekolah," katanya.
No comments:
Post a Comment