Tuesday, 15 March 2011
Pelajar lemah, mundur hanya hancur diri sendiri
PUTRAJAYA 15 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan golongan pelajar agar tidak lemah, mundur dan terlibat dalam pelbagai aktiviti tidak sihat yang boleh menghancurkan diri sendiri dan masa depan negara.
Timbalan Perdana Menteri berkata, mereka perlu gigih berusaha dalam mencari ilmu kerana hanya golongan berilmu dan berakhlak mulia mampu menerajui negara pada masa akan datang.
''Kita tidak nafikan bahawa ada kalangan kita yang bersikap 'seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing'.
''Sebagai bakal pemimpin akan datang, sifat tersebut tidak sepatutnya ada dalam diri kerana kita seharusnya prihatin dan peka terhadap keperluan serta kehendak orang lain," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menutup Program Keluarga Angkat 1Malaysia peringkat Kementerian Pelajaran di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Rosli Mohamed.
Program yang dimulakan sejak 10 Mac lalu itu melibatkan 60 keluarga angkat di kalangan pegawai kanan Kementerian Pelajaran.
Setiap keluarga angkat, mereka akan menerima dua anak angkat yang berlainan bangsa.
Muhyiddin berkata, rakyat negara ini amat beruntung kerana berada dalam negara yang sudah merdeka dan hingga hari ini masih aman, ekonominya stabil dan perpaduan terus mantap.
''Maka, kita semua perlu pertahankan kejayaan yang telah kita miliki dengan bersatu padu dan berusaha untuk memelihara kemakmuran negara," katanya.
Pada sidang akhbar kemudiannya, beliau menyifatkan program tersebut mampu membawa impak kepada kefahaman lebih mendalam tentang kepelbagaian keturunan, agama dan latar belakang di negara ini.
"Ini amat baik kerana sebagai pemimpin pelapis, mereka bukan sahaja harus dapat memahami kepelbagaian itu tetapi juga bagaimana dapat menghargai bahawa dalam perbezaan itu ada persamaan," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment