Monday 28 March 2011

Berita mengenai kesilapan seorang selalu disensasikan oleh akhbar


JAMALIAH melihat kesan di kepala Nur Ummi Aishah sambil diperhatikan Ismail selepas mendakwa ditumbuk oleh guru Matematik di Butterworth semalam.


BUTTERWORTH - Seorang murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Kuala Perai di sini trauma untuk ke sekolah selepas mendakwa ditumbuk di kepala oleh seorang guru pada Jumaat lalu.
Nur Ummi Aishah Ismail, 11, berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 11 pagi ketika dia berada di bilik darjah mengikuti mata pelajaran Matematik.
Katanya, tidak lama kemudian dia dan murid-murid lain diminta membuat latihan oleh seorang guru lelaki.
"Apabila cikgu tengok jawapan saya salah, dia terus menumbuk bahagian atas kepala saya lima kali berturut-turut sehingga saya sakit dan terasa mahu pitam.
"Ketika saya kesakitan, cikgu menarik pula telinga kanan saya hingga saya hampir terjatuh dari kerusi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bagan Dalam di sini semalam.
Dakwa Nur Ummi Aishah, guru berkenaan sering memukul murid-murid lain apabila mereka gagal menjawab soalan latihan yang diberikan.
Sementara itu, ibu murid berkenaan, Jamaliah Maani, 39, berkata, dia dan suaminya, Ismail Abdllah, 60, telah mengadu kepada pihak sekolah selain membuat laporan polis pada hari kejadian.
"Saya tak kisah kalau cikgu nak pukul anak saya dengan tujuan mendidik tapi kalau sudah sampai tumbuk kepala banyak kali, itu melampau," katanya.
Ujarnya, anaknya takut untuk ke sekolah kerana bimbang dimarahi guru berkenaan kerana tindakannya mendedahkan kejadian itu.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara, Abu Bakar Muaz memberitahu, pihaknya akan meminta laporan lanjut berhubung kejadian itu daripada pihak sekolah berkenaan.

No comments:

Post a Comment