Monday, 28 March 2011

Doa Agar Dapat Bermimpi Bertemu Rasulullah SAW..Darussyifa online




Klik Di Sini untuk mendengar rakaman kisah terbaru 
Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din bertemu Rasulullah SAW di dalam mimpi

Berita mengenai kesilapan seorang selalu disensasikan oleh akhbar


JAMALIAH melihat kesan di kepala Nur Ummi Aishah sambil diperhatikan Ismail selepas mendakwa ditumbuk oleh guru Matematik di Butterworth semalam.


BUTTERWORTH - Seorang murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Kuala Perai di sini trauma untuk ke sekolah selepas mendakwa ditumbuk di kepala oleh seorang guru pada Jumaat lalu.
Nur Ummi Aishah Ismail, 11, berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 11 pagi ketika dia berada di bilik darjah mengikuti mata pelajaran Matematik.
Katanya, tidak lama kemudian dia dan murid-murid lain diminta membuat latihan oleh seorang guru lelaki.
"Apabila cikgu tengok jawapan saya salah, dia terus menumbuk bahagian atas kepala saya lima kali berturut-turut sehingga saya sakit dan terasa mahu pitam.
"Ketika saya kesakitan, cikgu menarik pula telinga kanan saya hingga saya hampir terjatuh dari kerusi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bagan Dalam di sini semalam.
Dakwa Nur Ummi Aishah, guru berkenaan sering memukul murid-murid lain apabila mereka gagal menjawab soalan latihan yang diberikan.
Sementara itu, ibu murid berkenaan, Jamaliah Maani, 39, berkata, dia dan suaminya, Ismail Abdllah, 60, telah mengadu kepada pihak sekolah selain membuat laporan polis pada hari kejadian.
"Saya tak kisah kalau cikgu nak pukul anak saya dengan tujuan mendidik tapi kalau sudah sampai tumbuk kepala banyak kali, itu melampau," katanya.
Ujarnya, anaknya takut untuk ke sekolah kerana bimbang dimarahi guru berkenaan kerana tindakannya mendedahkan kejadian itu.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara, Abu Bakar Muaz memberitahu, pihaknya akan meminta laporan lanjut berhubung kejadian itu daripada pihak sekolah berkenaan.

Wednesday, 23 March 2011

Rahsia kecemerlangan Ameerul Ashraf peroleh 11A+ SPM 2010


AMEERUL Ashraf menerima ciuman daripada ibu bapanya, Harunarashid Mohd. Yunos dan Raha Abu Hassan di SBP Integrasi Selandar, Melaka, semalam.


MELAKA 23 Mac - Selepas cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebelum ini, Ameerul Ashraf Harunarashid terus menempa kejayaan apabila memperoleh 11A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010.
Pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Selandar dekat sini, mencipta sejarah tersendiri apabila muncul salah seorang daripada dua pelajar negeri ini yang mencapai keputusan gred cemerlang A+ dalam semua mata pelajaran SPM tahun lalu.
Lebih manis, anak sulung pasangan guru itu muncul satu-satunya pelajar Melayu daripada 21 pelajar yang diumumkan oleh Pengarah Pelajaran negeri, Juliah Leman mencapai gred cemerlang (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran.
''Saya memang sudah menjangka mencapai keputusan yang amat membanggakan ini, cuma risau dengan mata pelajaran Sejarah.
''Tetapi apabila saya melihat slip keputusan dan memperolehi 11A+, saya seperti tidak percaya. Ini adalah pencapaian terbaik saya," katanya ketika ditemui selepas menerima sijil penghargaan daripada Pengarah Pelajaran Negeri di jabatan itu di Bukit Baru, di sini hari ini.
Berkongsi rahsia kejayaannya, Ameerul Ashraf berkata, sepanjang belajar, dia tidak pernah hilang fokus dan sentiasa memastikan setiap kerja kursus yang diarahkan berjaya disiapkan.
''Saya juga tidak pernah mengabaikan solat lima waktu malah kerap membaca surah Yasin," katanya.
Selepas ini, dia bercadang melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan bagi mencapai cita-citanya untuk menjadi doktor gigi.
Sementara itu, bapanya, Harunarashid Mohd. Yunos, 45, yang merupakan Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar di Sekolah Vokasional Melaka Tengah, bersyukur dengan kejayaan yang diperoleh anaknya.
''Sejak UPSR dan PMR, dia muncul pelajar terbaik sekolah dan apabila peperiksaan SPM, saya yakin dia mampu melakukan yang terbaik," ujarnya.
Ibunya, Raha Abu Hassan, 42, guru di Sekolah Menengah Teknik Melaka berharap pencapaian Ameerul Ashraf akan menjadi pendorong kepada seorang lagi anaknya, Aida Najwa yang akan menduduki SPM tahun ini.
''Ibu mana yang tidak gembira dengan pencapaian cemerlang yang diperoleh anak dalam peperiksaan seperti ini,'' ujarnya.

Sedihnya hati Pendidikan Islam SPM 2010 Turun 2 %

Pendidikan Islam : SPM 2009 = 83.5 %
Pendidikan Islam : SPM 2010 = 81.4 %

Analisa SPM 2010

A=3
A- =10
B-=12
B+ = 14
C =17
C-=22
D dan  E = 27

Monday, 21 March 2011

PERANCANGAN

DALAM PENYUSUNAN

Keputusan SPM diumum Rabu



Berita Harian 2011/03/21

PUTRAJAYA: Majlis Pengumuman Analisis Keputusan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 akan diadakan pada 9 pagi Rabu ini di Aras 6, Blok E8, Kementerian Pelajaran di sini.
Menurut satu kenyataan hari ini, calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas 10 pagi hari yang sama. Calon persendirian pula akan dimaklumkan melalui pos, atau mereka boleh
menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri, tempat mereka mendaftar sebelum ini.
Kenyataan itu menyebut Kementerian turut memperkenalkan perkhidmatan semakan
keputusan SPM melalui mySMS di talian 15888, mulai tahun ini.
Perkhidmatan itu akan diaktifkan mulai 10 pagi Rabu ini dan ditamatkan pada
12 tengah malam hari yang sama. -- BERNAMA

Tuesday, 15 March 2011

Pelajar lemah, mundur hanya hancur diri sendiri


Muhyiddin Yassin (tengah) bersama-sama menyanyikan lagu 1Malaysia sambil mengibarkan Jalur Gemilang pada Program Keluarga Angkat 1Malaysia di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 15 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan golongan pelajar agar tidak lemah, mundur dan terlibat dalam pelbagai aktiviti tidak sihat yang boleh menghancurkan diri sendiri dan masa depan negara.
Timbalan Perdana Menteri berkata, mereka perlu gigih berusaha dalam mencari ilmu kerana hanya golongan berilmu dan berakhlak mulia mampu menerajui negara pada masa akan datang.
''Kita tidak nafikan bahawa ada kalangan kita yang bersikap 'seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing'.
''Sebagai bakal pemimpin akan datang, sifat tersebut tidak sepatutnya ada dalam diri kerana kita seharusnya prihatin dan peka terhadap keperluan serta kehendak orang lain," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menutup Program Keluarga Angkat 1Malaysia peringkat Kementerian Pelajaran di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Rosli Mohamed.
Program yang dimulakan sejak 10 Mac lalu itu melibatkan 60 keluarga angkat di kalangan pegawai kanan Kementerian Pelajaran.
Setiap keluarga angkat, mereka akan menerima dua anak angkat yang berlainan bangsa.
Muhyiddin berkata, rakyat negara ini amat beruntung kerana berada dalam negara yang sudah merdeka dan hingga hari ini masih aman, ekonominya stabil dan perpaduan terus mantap.
''Maka, kita semua perlu pertahankan kejayaan yang telah kita miliki dengan bersatu padu dan berusaha untuk memelihara kemakmuran negara," katanya.
Pada sidang akhbar kemudiannya, beliau menyifatkan program tersebut mampu membawa impak kepada kefahaman lebih mendalam tentang kepelbagaian keturunan, agama dan latar belakang di negara ini.
"Ini amat baik kerana sebagai pemimpin pelapis, mereka bukan sahaja harus dapat memahami kepelbagaian itu tetapi juga bagaimana dapat menghargai bahawa dalam perbezaan itu ada persamaan," katanya.

Saturday, 12 March 2011

Budak bijak





CLAVERLEY - Seorang murid perempuan, Victoria Cowie (gambar) yang baru berusia 11 tahun dikatakan lebih bijak berbanding saintis terkenal seperti Albert Einstein dan Stephen Hawking kerana dia memiliki skor kecerdasan (IQ) mencecah 162, lapor sebuah akhbar semalam.
Kepintaran Cowie diakui selepas dia mendapat skor 162 dalam ujian IQ.
Pencapaian itu adalah lebih baik daripada skor yang diperoleh oleh saintis terkenal, Albert Einstein, Stephen Hawking dan pengasas perisian komputer, Bill Gates iaitu 160.
"Saya sangat sukakan teka-teki dan menyelesaikan masalah. Saya mahu belajar dalam jurusan sains, terutama biologi," katanya yang sudah mendapat tawaran biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di empat buah sekolah berprestij.
Selain meminati mata pelajaran sains dan membuat eksperimen, Cowie juga suka berlakon, menari dan bermain alat muzik.
Ibunya, Alison, memberitahu, anaknya itu mempunyai kemampuan membaca sejak kecil dan pernah memenangi anugerah sains di sekolah.
Ibu bapanya kurang pasti daripada mana Cowie mewarisi kepintarannya itu.
Purata IQ manusia ialah 100.
Ekoran keputusan tersebut, Cowie mengalahkan kepintaran Napoleon Bonaparte yang mendapat skor 145, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton (140), penyanyi terkenal, Madonna (140) dan pengarah filem, Quentin Tarantino (160). - Agensi


Wednesday, 9 March 2011

35 Petua Pelajar Cemerlang


Oleh Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah
boystudy
  1. Menggunakan kedua-dua belah otak kanan & kiri. Ini dapat dilakukan dengan membuat aktiviti merangsang kedua-dua belah otak tersebut.
  2. Merangsang kesemua deria dalam pembelajaran. Kajian menunjukkan bahawa:

    • kita ingat 10 % apayang dibaca
    • kita ingat 20% apa yang didengar
    • kita ingat 50 % apa yang didengar & dilihat
    • kita ingat 70% apa yang dicakapkan
    • kita ingat 90% setelah dipraktikkan
  3. Belajar secara aktif dengan pen/pensil ditangan.
  4. Belajar 3 jam sehari atau 20 jam seminggu (tidak termasuk kerja rumah).

    …Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas belajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya….

  5. Belajar dalam persekitaran kondusif.
    • pastikan cahaya adalah terang
    • kurangkan gangguan bunyi
    • tampal poster yang mengandungi slogan yang menaikkan semangat belajar
    • tampal gambar-gambar yang menenangkan fikiran
    • kerusi dan meja menghadap kiblat
    • jangan lupa untuk senyum
  6. Tidak ponteng kelas. Kalau tertinggal kelas, salin nota dari rakan.
  7. Mengulang kaji menggunakan kaedah ‘output learning’ iaitu belajar untuk melatih otak menggunakan maklumat yang terkumpul. Ini dapat dilakukan dengan membaca buku/nota, ingat kembali, lakar/tulis, sebut apa yang difahami, dan jawab soalan.
  8. Tahu teknik merangsang memori:
    • memasukkan maklumat dalam memori (registration)
    • menyimpan maklumat dalam sel memori (retention)
    • mengingat kembali (recall)
    • menggunakan maklumat untuk menjawab soalan atau kegunaan lain (application)
  9. Sentiasa awal dan mendahului:
    • persediaan awal akan memberikan permulaan yang baik dan memberi tanggapan yang positif pada guru.
    • pelajar yang mendapat A pada ujian lazimnya akan dapat mengekalkan kejayaannya.
    • belajar awal ketika tiada tekanan adalah tidak membosankan.
    • untuk sentiasa awal dan mendahului, bacalah dahulu sekali atau 2 kali sebelum guru mengajar.
  10. Berbuat baik dengan guru. Setiasa hormati dan sayangi guru.
  11. Mempunyai teknik membaca yang betul:
    • duduk dengan tegak & bernafas dengan betul
    • memberikan tumpuan sepanuhnya
    • menggunakan jari telunjuk untuk membaca
    • menyesuaikan kelajuan membaca dengan kesukaran bahan bacaan
  12. Sentiasa mengawasi pencuri waktu belajar iaitu angan-angan kosong, bertangguh & malas.
  13. Membaca doa penerang hati setiap kali selepas sembahyang, sebelum mengulangkaji, dan sebelum menghadapi peperiksaan.
  14. Tidak membuang masa dengan belajar ketika letih.
  15. Mengadakan rehat sebentar setiap 20 minit mengulangkaji.
  16. Belajar mengikut waktu yang sesuai dengan diri (study according to your biological clock). Bagaimanapun, perlu tahu waktu-waktu yang sesuai untuk belajar iaitu sebelum tidur, selepas bangun tidur, selepas mandi air panas, selepas baca al-quran/zikir selepas riadah dan selepas berdoa.
  17. Mengulang kaji secepat mungkin. Ulang kaji ringkas selepas belajar (kita akan lupa 80% selepas belajar).
  18. Mengulang kaji secara bersendirian atau berkumpulan.
  19. Tahu mengulang kaji adalah aktiviti pembelajaran terpenting sebelum peperiksaan.
  20. Mengulang kaji pelajaran berulang-ulang kali.
  21. Mengulang kaji apabila mulai terlupa.
  22. Tahu petua mengulang kaji
    • cari tempat yang tenang dan serasi dengan jiwa kita
    • siapkan semua ‘bekalan’ dengan sempurna
    • duduk tegak dikerusi yang selesa
    • baca doa penerang hati
    • baca buku atau nota mengikut teknik membaca yang betul
    • fikir dan ingat kembali isi utama
    • catat/lakar
    • semak semula ketepatan maklumat
    • ulang sebut atau ceritakan pada orang lain
    • buat rumusan
    • jawab soalan
    • tampal maklumat yang rumit di dinding
    • baca doa tanda kesyukuran selepas belajar
  23. Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas beajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya.
  24. Tahu petua-petua agar tidak lupa:
    • jangan makan kepala ikan
    • jangan makan organ dalaman
    • jangan minum semasa makan
    • jangan minum atau makan makanan yang tercemar oleh semut
    • jangan melihat kemaluan
    • jangan melihat buih
    • jangan membaca nama pada batu nisan
    • banyakkan makan makanan yang mengandungi soya seperti tempe, tauhu dan lain-lain
    • banyakkan makan kismis, kurma dan madu
    • banyakkan makan kekacang
    • pakai minyak wangi ketika belajar atau menghadapi peperiksaan
    • jangan makan sehingga terlalu kenyang
    • jangan kencing berdiri
  25. Tahu kemahiran mengingat:
    • tampal nota-nota penting di dinding
    • tukar perkataan, ayat atau definisi dalam bentuk gambar atau rajah
    • gunakan kaedah akronim
    • reka cerita atau ayat mengenai konsep yang perlu diingat
    • pecahkan maklumat kepada kumpulan kecil
  26. Cekap mengatur jadual belajar:
    • mempunyai jadual belajar
    • patuh kepada jadual
    • buat jadual yang boleh diikuti
  27. Tidak menangguh belajar pada saat akhir dan tidak menumpukan peperiksaan sebagai dorongan untuk belajar.
  28. Cari maklumat mengenai subjek yang tidak diketahui. Sediakan perkara-perkara yang tidak diketahui dan dapatkan penyelesaian dari orang yang lebih arif.
  29. Membina kepelbagaian dalam pembelajaran. Sebagai contoh, satu hari dipelbagaikan cara dan topik untuk belajar.
  30. Menggunakan masa terluang untuk mengulang kaji atau mencuri masa.
  31. Membawa nota ke mana-mana sahaja (kecuali ke tandas).
  32. Pelbagaikan tempat belajar.
  33. Menyedari guru-guru adalah sumber ilmu yang baik. Tanya guru apabila tidak faham
  34. Menjadikan nota-nota menarik seperti membuat corak, menggariskan isi penting dan sebagainya.
  35. Ciri-ciri pelajar cemerlang:
    • taat kepada Allah
    • mendirikan sembahyang
    • menghormati kedua ibu bapa dan sentiasa mendoakan mereka
    • hormati & sayangi guru
    • bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja untuk mencapai kecemerlangan.
    • suka pada setiap mata pelajaran yang dipelajari
    • membantu rakan yang memerlukan
    • berdoa dan bersyukur kepada Allah
    • sentiasa bertawakal
    • mahir dalam setiap mata pelajaran
Kita juga perlu ingat pelajar yang cemerlang, adalah juga cemerlang pada akhlak dan tingkah lakunya dan seimbang dalam kehidupannya. Kecemerlangan pelajar bukan semata-mata dilihat pada nilai akademiknya sahaja. Semoga bermanfaat.