Monday, 22 December 2014

Hafaz al-Quran kunci 
kejayaan Nurunnuha dalam PT3 2014

IPOH 22 Dis 2014. – Rutin menghafaz al-Quran pada setiap pagi adalah antara rahsia kejayaan pelajar cemerlang dari Sekolah Raja Perempuan Taayah di sini apabila berjaya memperoleh keputusan 11A dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang diumumkan hari ini.

Nurunnuha Muhammad Ismi, 15, berkata, amalan itu sering dilakukan pada pukul 5.30 pagi bagi membolehkan dia memahami se­tiap pelajaran dengan lebih mudah dan cepat.

Ini kerana katanya, untuk menghafaz al-Quran bukanlah mudah dan dia menjadikan aktiviti itu sebagai latihan untuk mencerdaskan otak.


“Selalu orang cakap, jika mahu berjaya perlu belajar bersungguh-sungguh. Bagi saya apa yang paling penting adalah reda daripada ibu bapa dan guru. Melalui keredaan mereka, Allah juga akan reda pada kita.

“Oleh itu, apabila kita mendapat keredaan banyak pihak, segala perancangan akan menjadi lebih mudah sekali gus usaha untuk menimba ilmu juga akan lebih mudah,” kata­nya ketika ditemui di sini hari ini.

Anak kepada pasangan Muhammad Ismi Mat Taid, 40, dan Maslina Mohamad, 40, itu merupakan pelajar tunggal yang memperoleh keputusan A dalam semua mata pelajaran daripada 123 pelajar sekolah itu yang menduduki PT3 tahun ini.

Nurunnuha berkata, kejayaannya banyak didorong oleh bimbingan dan semangat yang diberikan keluarga, rakan-rakan dan tenaga pengajar di sekolahnya.

“Setiap kali berasa berputus asa, ibu orang pertama yang akan saya cari untuk menaikkan semangat. Saya berharap kejayaan ini dapat membanggakan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengetua sekolah itu, Noor Aini Zainal Abidin berkata, daripada 123 pelajarnya yang menduduki PT3 tahun ini, hanya 22 pelajar mendapat keputusan 7A ke atas.

Katanya, keputusan itu agak menyedihkan kerana sasaran awal berdasarkan pencapaian tahun sebelumnya adalah lebih 60 pelajar akan memperoleh keputusan A dalam semua mata pelajaran.

“Jika dilihat kepada keputusan itu, kita tidak berpuas hati tetapi keputusan ini tidak boleh dibandingkan dengan Penilaian Menengah Rendah (PMR) kerana pembelajarannya yang berbeza.

“Oleh itu, kita perlu mengkaji semula kaedah dan strategi baru bagi menghadapi PT3 pada tahun hadapan. Bagaimanapun, apa yang membanggakan kebanyakan pelajar yang cemerlang ini adalah mereka yang seimbang dalam penglibatan aktiviti luar dan pelajaran,”
 ujarnya.http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment