Monday, 17 February 2014

Calarnya nilai Islam kerana kerosakan akhlak

Oleh Nurul Ain Abdul Razak
Marcapada membentangkan bertapa hancurnya nilai keislaman disebabkan kerosakan akhlak anak muda kini. Akibat nipisnya iman yang menjadi pagar kukuh diri individu menyebabkan anak muda kini tiada lagi rasa malu dan segan melakukan perkara terkutuk dan hina di sisi Islam.
Perasaan takut, gentar dan gerun tidak lagi bertapak di hati mereka untuk terus melakukan apa sahaja yang disukai tanpa memikirkan akibat dan natijah yang buruk kepada diri, masyarakat dan lebih-lebih lagi natijah kepada masa depan Islam itu sendiri.
Bagaimana perkara sebegini boleh berlaku dan semakin lama umat kita semakin bertambah parah pada zaman kini? Adakah kerana dakwah Islam di Malaysia disekat dan diterhadkan peranannya atau pendakwah hanya goyang kaki menunggu gaji yang bakal masuk?

Sedih dan pilu apabila membaca hampir saban hari akhbar yang mengisarkan akan hal-hal maksiat dan kebejatan sosial yang melanda umat Islam kini terutamanya di Malaysia. Tiada lagi istilah takut kepada azab Allah apabila membincangkan akan hal ini menunjukkan sirnanya nilai keislaman dalam masyarakat sekarang.
14 Febuari 2014 mencatatkan rekod “menarik” untuk kita teladani bersama. Begitu banyak berita yang tersebar tentang aktiviti anak muda pada malam itu, dan betapa sedihnya apabila mereka merupakan remaja yang masih lagi belasan tahun. Arak sudah mula menjadi minuman yang halal bagi mereka, malah zina juga “permainan” biasa.
Alangkah parahnya sehinggakan apabila dosa menjadi perkara yang sudah lali, dan lagi sakitnya apabila keluarga turut merestui hubungan itu atas alasan mereka bakal berkahwin.

Contoh beberapa kes yang berlaku pada malam Valentine baru-baru ini, remaja perempuan yang 18 tahun sudah mula berjinak-jinak dengan arak dan mula menyentuhnya selepas tamatnya Sijil Pelajaran Malaysia(SPM).
Satu lagi kes yang diterbitkan di dada akhbar Sinar Harian bertarikh 16 Februari, sepasang kekasih terjebak perbuatan zina dan mengejutkan apabila ibu bapa lelaki tersebut tahu akan hubungan mereka malah tidak kisah mereka ditangkap pada malam tersebut.
Lagi sekali nilai Islam terhakis dan tercalar dengan begitu teruk. Islam tidak lagi dipandang tinggi seperti dulu. Ajaran-ajaran Islam sudah tidak diambil peduli. Nilai-nilai Barat meracuni pemikiran umat kita kini sehinggakan racun tersebut tersebar luas.
Hakikat yang jelas, Islam merupakan agama yang terbaik dalam mencari segala macam solusi dalam aspek kehidupan, malah terjamin natijahnya yang baik. Tetapi, penerimaan ajaran islam kini seolah-olah tidak mendapat perhatian dan dipandang enteng oleh sesetengah masyarakat yang merupakan penganut agama itu sendiri.
Mereka menganggap ajaran Islam sudah lagi tiada “value” dan tidak lagi sesuai dengan zaman yang serba canggih sekarang. Pemikiran ini diserap dengan deras sehinggakan lubang-lubang kebaikan sukar untuk dimasuki. Hati yang dididik dengan nilai kebaratan secara terus-menerus akan membawa kepada kemudaratan yang sama dan mungkin lebih teruk lagi.
Oleh itu, pentingnya tarbiyah Islam dalam membanteras dan menangani isu seperti ini. Hukuman yang digariskan oleh Islam sepatutnya diutamakan dalam sebuah kepimpinan demi menjamin kemakmuran dan kesejahteraan akhlaq dan moral.
Apabila isu seperti ini tiada pendekatan Islam dijalankan ,maka dapatlah kita lihat dan meramalkan natijahnya pada masa akan datang. Gejala ini akan terus tersebar dan jangan terkejut seandainya islam tiada lagi kedengaran di halwa.
Jadi, saya menyeru agar tarbiyah Islamiah sebetulnya dijalankan dan diamalkan di negara ini. Semua harus mengambil peranan yang penting dan bangkit dalam membanteras budaya yang semakin hancur ini, bukan sekadar ustaz mahupun ustazah,  malah semua peringkat harus sedar dan bertindak sebelum terlambat.
Mulakan dengan tarbiyah! Ia bukan hanya dalam berbentuk buku, ceramah, kuliah dan teori semata-mata, malah keseluruhannya yang wujud dalam ajaran islam wajib diaplikasikan demi menjamin kemaslahatan Islam pada masa akan datang.
“Jika kamu ingin melihat bagaimana pemimpin akan datang, lihatlah siapa pemuda masa kini”. – 17 Februari, 2014.
* Penulis adalah mahasiswa dari Kuliyyah Ilmu Pengetahuan berasaskan Wahyu UIAM.

No comments:

Post a Comment