Kadangkala
kita merasakan sudah bertungkus lumus mengulang kaji. Sudah berpuluh
kali menyelak nota yang sama. Masih juga susah untuk faham. Rasa
terhijab dan sebagainya. Bila sudah faham pula, tiba-tiba lupa a.k.a
blank di dewan peperiksaan. Jika hal-hal seperti ini pernah berlaku pada
kita, semaklah kembali adab-adab kita sebagai penuntut ilmu. Mungkin inilah natijahnya jika kita kurang mengambil kira soal keberkatan.
Imam Ahmad bin Hanbal berkata: “Kami diperintahkan supaya tawadhu’
kepada sesiapa yang kami pelajari ilmu daripadanya (guru atau ulama’)
Keberkatan juga boleh hilang jika ilmu yang dicari digunakan untuk bermegah-megah.
Semakin berilmu, semakin pula merasakan diri hebat. Rakan-rakan yang
lebih rendah pencapaiannya dirasakan tidak sama level dengan dirinya.
Maksud sebuah hadis riwayat Ibn Hibban:
“Jangan
mempelajari ilmu untuk berbangga-bangga di hadapan para ulama’, atau
untuk berdebat dengan orang-orang bodoh, atau untuk memilih majlis yang
terbaik (demi mendapat pujian orang). Sesiapa melakukan hal itu maka
nerakalah tempatnya.”
Jangan pula mengharapkan ilmu itu berkat jika dicampur baurkan dengan
maksiat. Ada sesetengah dari kita yang menghabiskan berjam-jam untuk
study. Malangnya, sambil study sambil berchatting dengan buah hati yang
masih belum halal. Lebih parah jika study bersama-sama, hanya berdua.
Pembakar semangat katanya. Ada pula yang sambil menonton cerita-cerita
Korea, Jepun mahupun Barat yang mempunyai adegan yang tidak patut
dijamah mata, ataupun mendengar muzik-muzik yang melalaikan jiwa.
Alasannya, mahu release tension.
Sedarlah bahawa ilmu itu suci, ibarat cahaya yang terang. Takkan hadir
pada hati yang penuh kotor dengan maksiat, gelap tidak bersinar.
Tidak dinafikan, ada saja manusia yang berjaya walaupun adab pada guru tidak dijaga.Ada saja yang cemerlang walaupun meninggalkan solat, melanggar hukum-hukum Allah. Bagaimana mereka boleh berjaya jika ilmu tiada berkat?
Keberkatan dan kejayaan itu sesuatu yang berbeza. Sama halnya antara
keberkatan dan kekayaan. Ada negara yang maju dan kaya raya tetapi tidak
ada keberkatan. Maksiat, penyelewengan dan jenayah berleluasa sehingga
rakyat sendiri tidak berasa selamat. Ada manusia yang gaji sudah
berpuluh ribu, tapi harta yang ada masih terasa kurang.Luarannya kita nampak senang, tapi hakikatnya, jiwa mereka tidak tenteram.
Keberkatan tidak boleh ternilai dengan mata kasar. Berkat atau barakah
itu sendiri bermaksud bertambah dan berkembang, manakala Al Isfahani
mendefinisikannya sebagai tetapnya kebaikan Allah dalam sesuatu perkara.
Seseorang mungkin berjaya menjadi pelajar paling cemerlang di sekolah,
tapi kerana tiada keberkatan, ilmu yang dipelajari sekadar di hujung
pen. Tidak mampu diamalkan dan langsung tidak membawa manfaat buat dirinya. Hanya berjaya dalam peperiksaan tapi tidak berjaya dalam hidup. Berjaya mendapat kedudukan di dunia tapi tidak di akhirat.
CGPA itu penting, kerja yang bagus juga penting. Masakan Islam akan
dipandang tinggi jika umatnya adalah umat yang mundur dan gagal. Tapi dalam mengejar kejayaan dunia, jangan sampai hak-hak Allah dan hak-hak sesama manusia terabai.
Di sebalik assignments yang menimbun, kesibukan mengulangkaji untuk
peperiksaan akhir yang semakin hampir, periksalah kembali sama ada
keberkatan itu ada bersama kita.
Sesungguhnya, iman dan taqwalah yang dapat memandu kita meraih keberkatan dalam safar menuntut ilmu yang panjang ini.
Jikalau satu penduduk negeri atau satu kelompok manusia mempunyai dua
sifat iaitu beriman dan bertaqwa, niscaya kami (Tuhan) limpahkan kepada
mereka berkat dari langit dan bumi. (Al A’raf: 96)
Wahai Tuhan kami, berkatilah ilmu dan kehidupan kami.Sumber
No comments:
Post a Comment