Monday, 4 February 2013

MENJAWAB SALAM BUKAN MUSLIM

http://drmaza.com
Apabila saya menyebut bahawa hendaklah kita menjawab salam ‘bukan muslim’ yang tidak memerangi Islam, ada kelompok ekstrimis yang membantah mati-matian. Alasan mereka senang sahaja; ‘kami tidak pernah dengar pun ada tok guru pondok kami ajar demikian’. Mereka ini jadikan seakan ilmu Islam keseluruhannya terkumpul di pondok-pondok yang pernah mereka belajar. Sesetengah pihak pula telah mengharamkan diri dari membaca atau mentelaah apa yang tidak pernah disebut oleh mazhab nusantara atau generasi lama di tempatnya. Sumbangan pengajian pondok di rantau ini tidak boleh dinafikan. Namun sentimen tanpa hujah bukan ilmu yang diiktiraf dalam Islam.

Ustaz Bukan Rasul
Islam adalah agama yang sejahtera. Penampilan dan inti kandungannya adalah berteras kekukuhan nilai dan keindahan hakiki. Islam itu akan indah jika kita benar-benar jadikan teras kefahaman kita terhadapnya bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Pendapat
golongan ‘ustaz’ bukan kesemuanya pasti tepat dengan kedua sumber agung tersebut. Bukan semua yang dianugerahkan darjah kenamaan ‘ustaz’ menguasai tajuk yang dia ajar atau perkatakannya. Jika semua seiras dengan ajaran al-Quran dan al-Sunnah tentu tiada perselisihan pokok antara sesama ‘ustaz’. Jika tidak, masakan ada ustaz-ustaz yang berlainan kumpulan politik sesat menyesatkan antara satu sama lain.
Kesimpulannya, pandangan golongan agama boleh diterima dan ditolak. Hanya yang tidak boleh ditolak ialah nas-nas al-Quran dan al-Sunnah. Sesiapa yang mengemukakan hujah berteraskan kedua sumber agung itu dan menuruti kaedah kefahaman nas yang diakui oleh disiplin kesarjanaan, maka pendapat diiktirafnya. Jika tidak, ‘ustaz’ atau ‘tok guru’ atau ‘mufti’ bukan rasul yang diutuskan sehingga setiap kalimah dari mulut mereka dinilai dengan neraca kewahyuan.
Hujah
Berbalik kepada isu salam, apakah kenyataan saya mengenai boleh menjawab salam kepada bukan muslim ini sesuatu yang baru direka, atau sesetengah golongan agamawan lebih cenderung kepada sentimen tempatan semata. Di sini saya petik apa yang disebut oleh al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam karyanya yang terkenal Zad al-Ma’ad:
“Telah berbeza pendapat para ulama salaf dan khalaf mengenai hukum memberi salam kepada Yahudi dan Kristian. Kata kebanyakan ulama tersebut: “tidak dimulakan ucapan salam kepada mereka”. Ulama yang lain berpendapat: “harus memulakan ucapan salam kepada mereka, seperti mana harus menjawabnya. Pendapat ini (kedua) diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, Abu Umamah dan Ibn Muhairiz. Ia juga salah satu pendapat dalam Mazhab al-Syafi’i. Namun empunya pendapat ini dalam Mazhab al-Syafi’i menyatakan: Disebut al-Salam ‘alaika tanpa menyebut wa rahmatullah, dan secara ifrad (untuk seorang sahaja). Segolongan ulama berpendapat: “Harus memulakan salam kepada Yahudi dan Kristian disebabkan kemaslahatan yang lebih utama yang diperlukan, atau bimbang tindakannya, atau hubungan kekeluargaan, atau apa-apa yang memerlukannya. Diriwayatkan pendapat ini dari Ibrahim al-Nakha’i dan ‘Alqamah. Kata al-Auza’i: “Jika engkau memberi salam kepada mereka (Yahudi dan Kristian), telah pun memberi salam kepada mereka sebelum ini golongan soleh. Jika engkau tidak memberi salam kepada mereka, telah pun tidak memberi salam kepada mereka sebelum ini golongan soleh yang lain”.
Sambung al-Imam Ibn Qayyim lagi:
“Para ulama berbeza pendapat tentang menjawab salam mereka. Majoriti ulama berpendapat wajib menjawab. Inilah pendapat yang benar. Kata segolongan ulama tidak wajib menjawab..”
Kata al-Imam Ibn Qayyim lagi:
“Telah sabit dalam hadis, Nabi s.a.w lalu dalam satu majlis yang bercampur antara muslim, musyrikin penyembah berhala dan Yahudi, lalu baginda memberi salam untuk mereka semua”.(Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Zad al-Ma’ad, 2/425-426, Beirut: Muassasah al-Risalah 1990).
Al-Imam al-Bukhari dalam kitabnya Al-Adab al-Mufrad di bawah tajuk Bab Kaif al-Radd ‘ala Ahl al-Zimmah (Bab Bagaimana Menjawab Salam Kafir Zimmi) meriwayatkan kata-kata Ibn ‘Abbas:
“Jawablah salam sama ada Yahudi, Nasrani atau Majusi. Ini kerana ALLAH berfirman (maksudnya dari Surah al-Nisa ayat 86) “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu” (riwayat ini bertaraf hasan).
Dalam riwayat yang lain dalam al-Adab al-Mufrad juga di bawah bab Iza Kataba al-Zimmi Fasallama, Yuradd ‘Alaihi (Bab Apabila Kafir Zimmi Menulis Surat Dengan Memberi Salam, Maka Dijawab Salamnya). Dalam bab ini dimuatkan kisah yang sahih di mana Abu Musa al-Asy’ari menulis surat kepada seorang paderi lalu memberi salam dalam surat itu. Maka dia ditanya:
Adakah engkau memberi salam kepadanya, sedangkan dia kafir?. Jawab Abu Musa: “Dia telah menulis surat kepadaku dengan memberi salam, maka akupun menjawabnya”.
Riwayat-riwayat yang seperti ini sepatutnya dibaca oleh sesiapa yang ingin membicarakan tajuk ini sebelum menghukum sesuatu pandangan sebagai menyeleweng. Malangnya di negara ini, sesetengah golongan agama tidak menjadikan fakta sebagai teras perbincangan, sebaliknya sentimen guru tradisionalnya yang jadikan ukuran kebenaran.
Fahami Sebab Hadis
Adapun hadis-hadis yang menyuruh dijawab ‘wa ‘alaika’ (ke atas kamu) terhadap salam Yahudi ialah disebabkan orang Yahudi pada zaman Nabi s.a.w apabila memberi salam menyebut as-samu ‘alaikum yang bermaksud: maut atau kemusnahan ke atas kamu. Mereka cuma mengelirukan pendengaran orang Islam. Justeru itulah Nabi s.a.w menyuruh dijawab dengan ungkapan ‘wa alaikum’ sahaja. Perkara ini jelas disebut dalam hadis baginda:

“Sesungguhnya Yahudi apabila memberi salam kepada kamu, sebenarnya dia menyebut: as-samu ‘alaika (maut atau kemusnahan). Maka kamu jawablah wa ‘alaika (ke atas kamu). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maka dengan ini jelas hadith ini mempunyai Sabab al-Wurud (sebab terbentuknya sesuatu hadith) yang tersendiri. Iaitu ia merujuk kepada suatu kejadian atau keadaan yang mana orang Yahudi memberikan ucapan salam secara mainan dan sendaan dengan diubah lafaz yang kedengarannya hampir sama, tetapi maksudnya amat berbeza. Dalam ertikata lain hadith ini bukan untuk semua keadaan.
Maka jika keadaan berbeza, di mana jika ada bukan muslim memberikan salam dengan cara yang betul serta tujuan yang betul pula iaitu untuk mengucapkan kesejahteraan kepada kita, maka hadis di atas tiada kaitan lagi. Apakah wajar untuk kita sebagai penganut agama yang membawa kesejahteraan dan rahmah, menolak ucapan baik orang lain dengan cara yang tidak sepatutnya?!!. Sudah pasti tidak wajar demikian.
Nas Dan Realiti
Apatah lagi dalam situasi Islam yang cuba dipandang serong oleh musuh-musuh yang mengelilingi umat. Tidak menjawab salam yang betul yang diberikan oleh bukan muslim yang tidak memerangi Islam sekurang-kurangnya telah tersasar dari mematuhi dua ayat al-Quran berikut:
Pertama: Surah al-Nisa: ayat 86:

(maksudnya): “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”.
Kedua: Surah al-Mumtahanah ayat 8-9,


(maksudnya): “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memeberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.9. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.
Al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani r.h. menyebut:
“Ayat ini (Surah al-Mumtahanah ayat 8) dengan jelas memerintahkan agar melakukan kebaikan dan keadilan kepada orang kafir warga negara Islam yang berdamai dan tidak menyakiti kaum mukminin. Tanpa syak lagi, jika seseorang di kalangan mereka memberi salam dengan menyebut secara jelas as-salam ‘alaikum , lalu kita menjawabnya sekadar wa ‘alaika, adalah sesuatu yang tidak adil dan meninggalkan sikap baik. Ini kerana kita telah mensamakan antara dia dengan orang yang mengucapkan as-samu ‘alaikum (maut atau kemusnahan ke atas kamu). Ini adalah kezaliman yang nyata”. (Nasir al-Din Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 2/322, Riyadh: Maktabah al-Ma’arif :1995).
Di kalangan para ulama yang melarang menjawab salam bukan muslim pun, berpendapat jika keadaan memerlukan maka diboleh untuk menjawab. Mereka contohkan seperti bimbang disakiti atau berlaku perkara yang tidak baik. Saya katakan keadaan umat hari ini menuntut kita menjawabnya dari segi nas, juga realiti kehidupan. Islam sudah dihodohkan rupa parasnya yang indah oleh penganut dan penentang. Enggan membalas ucapan baik dengan ucapan yang baik juga hanya akan menambahkan contengan di wajah Islam yang kudus. Maka menjawab salam bukan Islam di zaman ini adalah suatu kewajiban dari segi nas dan tanggungjawab dakwah.

No comments:

Post a Comment