Nenek ditumbuk, ditendang peragut KOTA BHARU – Kegembiraan seorang wanita yang baru seminggu bergelar nenek untuk melawat anak dan cucunya bertukar malang apabila dia cedera parah selepas terjatuh ditendang peragut yang meragut beg tangannya ketika menunggang motosikal di Lundang di sini kelmarin.
Akibat kejadian itu, pembantu taman asuhan kanak-kanak (Taska), Che Rahimah Dollah, 44, yang dalam perjalanan ke rumah anaknya di Telipot patah tangan kanan, patah sebatang gigi, cedera di kepala dan terpaksa menerima 10 jahitan.
Dalam kejadian pada pukul 7.15 pagi di Jalan Yahya Petra berhampiran Kompleks Balai Islam di Lundang, Che Rahimah telah diragut oleh dua lelaki menunggang motosikal yang telah mengekorinya.
Sebaik terjatuh dari motosikal, mangsa terus pengsan sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Ketua Polis Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal berseorangan dari arah Kubang Kerian dipercayai telah diekori dua lelaki bermotosikal selepas suspek melihat beg tangan mangsa diletakkan dalam raga motosikal.
“Semasa suspek cuba merampas beg tangan dalam raga, mangsa cuba menarik balik beg tangannya itu.
“Geram dengan tindakan mangsa yang tidak mahu melepaskan beg tangan itu, suspek yang membonceng motosikal itu kemudian menumbuk mangsa sebelum menendang pula motosikal mangsa menyebabkan mangsa terjatuh dan pengsan,” kata beliau ketika ditemui pemberita semasa melawat mangsa di HRPZ II petang semalam.
No comments:
Post a Comment